Frequently Asked Questions (FAQ)
| 1 |
Apa yang boleh saya adu kepada KeTTHA? KeTTHA boleh menyiasat aduan-aduan berkaitan tindakan-tindakan dan keputusan-keputusan pentadbiran agensi-agensi Kerajaan Malaysia di peringkat persekutuan, negeri dan tempatan untuk menentukan sama ada tindakan itu salah, tidak adil atau tidak mengikut lunas undang-undang. |
| 2 |
Adakah sebarang bayaran dikenakan untuk membuat aduan? Tiada bayaran dikenakan. |
| 3 |
Bolehkah saya membuat aduan bagi pihak orang lain? Perlu memaklumkan hubungan anda dengan pengadu. Anda perlu mendapatkan keizinan daripadanya. Bagaimanapun, kami menggalakkan pengadu membekalkan maklumat peribadi termasuk nama, alamat untuk dihubungi dan nombor telefon. |
| 4 |
Bolehkah saya mengemukakan aduan tanpa memberi nama? Ya. KeTTHA menerima aduan tanpa nama atau ‘whistleblower’. Pada kebiasaannya kami tidak akan melakukan siasatan melainkan aduan itu membangkitkan sesuatu perkara yang serius dan terdapat maklumat mencukupi dalam aduan untuk membolehkan kami menjalankan siasatan. |
| 5 |
Apakah jenis aduan yang boleh diterima oleh KeTTHA? Jenis aduan yang diterima oleh KeTTHA adalah mengenai kelewatan / tiada tindakan, tindakan tidak adil, kekurangan kemudahan awam, kepincangan dasar dan kelemahan undang-undang, salah guna kuasa/penyelewengan, salah laku anggota awam, kegagalan mengikut prosedur, kegagalan penguatkuasaan dan kualiti perkhidmatan yang tidak memuaskan. |
| 6 |
Adakah semua aduan boleh dirujuk kepada KeTTHA? Semua aduan boleh dirujuk kepada KeTTHA kecuali aduan-aduan terhadap dasar Kerajaan, perkara-perkara di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Kira-kira Awam, Badan Pencegah Rasuah dan Biro Bantuan Guaman. Kami tidak menerima aduan-aduan yang telah dirujuk kepada peguam atau mahkamah. |
| 7 |
Bagaimana cara membuat aduan? Anda boleh mengemukakan aduan melalui telefon, hadir sendiri, menulis surat, faks, laman web kami dan semasa kami mengadakan programprogram bertemu orang ramai. |
| 8 |
Apa yang perlu saya masukkan dalam aduan kepada KeTTHA?
Aduan anda perlu mengandungi maklumat yang mencukupi untuk membolehkan KeTTHA menilai kedudukannya dan cara terbaik untuk membantu. Kami menggalakkan pengadu membekalkan maklumat-maklumat peribadi termasuk nama, alamat untuk dihubungi dan nombor telefon untuk membolehkan kami melaporkan perkembangan siasatan. Kami boleh merahsiakan butir-butir peribadi ini jika diminta oleh pengadu. Sila beritahu kami dengan jelas apa yang anda mahu KeTTHA siasat. Berikan sebanyak mungkin maklumat termasuk salinan-salinan surat atau dokumen yang menunjukkan anda telah berusaha menyelesaikan aduan itu dengan agensi berkenaan. Beritahu kami hasil yang dikehendaki.
|
| 9 |
Apa berlaku kepada aduan saya?
Kami akan memberi pertimbangan yang teliti ke atas aduan anda. Dalam kebanyakan kes, kami akan menelefon agensi berkenaan atau pegawai yang terlibat dan meminta penjelasan. Kami akan menulis kepada mereka untuk mendapatkan maklum balas dan maklumat yang perlu. Kebanyakan aduan akan diselesaikan di peringkat ini. Sekiranya aduan membangkitkan isu yang serius dan kompleks, atau kami tidak puas hati dengan tindak balas awal agensi, kami mungkin akan membuat siasatan lanjut. Sekiranya kami tidak dapat menerima aduan anda atas sebab-sebab tertentu, kami akan menjelaskannya kepada anda. Anda akan diberitahu perkembangan siasatan. Sekiranya kami mendapati aduan anda mempunyai asas, keputusannya akan dilaporkan kepada anda dan agensi berkaitan. KeTTHA mungkin akan mencadangkan supaya agensi menimbang semula atau mengubah tindakan atau keputusan; supaya undang-undang, peraturan atau prosedur dipinda; dan/atau agensi perlu mengambil tindakan lain yang sesuai dengan keadaan. KeTTHA tidak boleh menolak keputusan agensi-agensi, atau memaksa mereka mematuhi cadangan-cadangan kami. Bagaimanapun pada umumnya agensiagensi menerima baik cadangan-cadangan KeTTHA. Jika mereka tidak menerima dan jika KeTTHA berpandangan sesuatu perkara itu untuk kepentingan awam, kami boleh bawa isu yang berkaitan kepada Jawatankuasa Tetap Pengaduan Awam yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara. Keputusan-keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa mesti dilaksanakan. Kami juga boleh mengemukakan perkara-perkara yang melibatkan kepentingan orang ramai kepada Jemaah Menteri.
|
| 10 |
Berapa lama KeTTHA membuat siasatan? Kami akan menyelesaikan aduan-aduan anda seberapa segera yang boleh. Bagi kes-kes yang rumit yang melibatkan beberapa agensi, ia mungkin mengambil masa untuk menyiasat. Piagam Pelanggan kami menetapkan piawaian perkhidmatan dengan lebih terperinci. |
| 11 |
Bilakah tarif elektrik baru berkuatkuasa? Tarif elektrik baru mula berkuatkuasa pada 1 Jun 2011. |
| 12 |
Berapakah penyelarasan tarif elektrik pada semakan tarif kali ini? a) Kadar purata tarif diselaraskan sebanyak 2.23sen/kWj (7.12%) daripada 31.31sen/kWj kepada 33.54sen/kWj. Penyelarasan tarif kali ini melibatkan 2 komponen utama iaitu: Penyelarasan sebanyak 1.60 sen/kWj (5.12%) disebabkan oleh keputusan Kerajaan untuk menaikkan harga gas kepada sektor elektrik daripada RM10.70/MMBTU kepada RM13.70/MMBTU; Semakan tarif asas TNB sebanyak 0.63sen/kWj (2.0%) bagi menampung sebahagian daripada peningkatan kos pembekalan elektrik sejak semakan tarif asas yang terakhir dilaksanakan pada Jun 2006. b) Mekanisme Tarif Galakan atau Feed-in Tariff diperkenalkan untuk menggalakkan Tenaga Boleh Baharu (TBB) (Renewable Energy – RE). Kutipan sebanyak 1.0% daripada bil elektrik pengguna akan disumbangkan kepada Dana TBB untuk menampung kos tambahan bagi kos penjanaan elektrik daripada sumber RE yang lebih tinggi berbanding kos penjanaan daripada sumber-sumber fosil. |
| 13 |
Berapakah purata kenaikan bil elektrik mengikut pelbagai kategori pengguna? Pengguna industri akan mengalami kenaikan purata sebanyak 8.35% (di antara 6.2% dan 10.3%). Manakala, pengguna komersial pula akan mengalami kenaikan purata sebanyak 8.35% (diantara 6.2% dan 10.3%). Bagi pengguna domestik yang menggunakan elektrik sehingga 200kWj di bawah kategori jaluran asas penggunaan (lifeline band) dan 100kWj berikutnya tidak mengalami sebarang kenaikan tarif elektrik. Pengguna dalam kategori ini akan terus menikmati tarif elektrik pada kadar sedia ada iaitu 21.8sen/kWj dan 33.4sen/kWj. Pengguna domestik yang menggunakan elektrik antara 301kWj sehingga 400kWj sebulan pula akan mengalami kenaikan bil elektrik bulanan di antara 0.1% sehingga 8.3%, iaitu dalam lingkungan RM0.07 sehingga RM6.60. |
| 14 |
Apakah kadar istimewa atau diskaun tambahan yang ditawarkan kepada pengguna-pengguna elektrik? Pakej semakan semula tarif ini juga merangkumi kadar dan diskaun tambahan seperti berikut: diskaun 10% ke atas bil elektrik bulanan yang sedang dinikmati oleh sekolah Kerajaan, institusi pengajian tinggi Kerajaan, rumah-rumah ibadat dan badan-badan kebajikan yang berdaftar dengan Kerajaan adalah dikekalkan. Diskaun 10% ini juga akan turut diberikan kepada institusi pengajian yang ditaja sebahagiannya oleh Kerajaan; pengguna Thermal Energy Storage (TES) akan menikmati kadar diskaun lebih tinggi untuk penggunaan dalam tempoh luar puncak (off peak) bagi menyokong pembangunan teknologi hijau dan Demand Side Management; pengurangan caj Firm Standby untuk Co-generators bagi pengguna-pengguna voltan sederhana bagi menggalakkan penggunaan tenaga dengan lebih cekap; syarikat rawatan air, pengagihan air dan pembetungan akan dikategorikan di bawah Tarif Industri; dan mengekalkan Tarif Khas Pertanian. |
| 15 |
Apakah impak kenaikan tarif elektrik ke atas pengguna di bawah kategori Jaluran Penggunaan Asas (Lifeline Band)? Jaluran Penggunaan Asas (Lifeline Band) dikekalkan pada 200kWj sebulan. Kadar tarif elektrik bagi kategori ini tidak pernah disemak semula sejak tahun 1997. Kira-kira 3.3 juta isi rumah yang merangkumi 200,000 isi rumah miskin (pendapatan kurang daripada RM750 sebulan) akan terus menikmati kadar tarif yang rendah daripada kos sebenar membekalkan elektrik, iaitu pada kadar 21.8 sen/kWj. |
| 16 |
Apakah rasional utama bagi penyelarasan tarif pada kali ini? Penyelarasan harga gas kepada sektor elektrik daripada RM10.70/MMBtu kepada RM13.70/MMBtu merupakan komponen utama yang menyumbang kepada semakan semula tarif elektrik. Semakan semula harga gas adalah tidak dapat dielakkan memandangkan harga minyak di pasaran dunia pada tahun ini telah meningkat berbanding harga minyak semasa harga gas ditetapkan pada kadar RM10.70/ MMBtu pada tahun 2009. Harga gas untuk sektor elektrik ditetapkan mengikut formula yang disandarkan kepada harga Medium Fuel Oil (MFO). Walau bagaimanapun, kini harga MFO telah meningkat memandangkan ianya mempunyai hubung kait yang rapat dengan harga minyak semasa di pasaran antarabangsa. Oleh kerana gas merupakan salah satu bahan api utama iaitu 54.2% bagi penjanaan elektrik di negara ini, peningkatan harga gas kepada sektor elektrik secara langsung akan meningkatkan kos penjanaan elektrik. |
| 17 |
Bagaimanakah harga gas ditentukan? Harga gas ditetapkan berdasarkan harga bahan api alternatif. Sebagai contoh, sekiranya Medium Fuel Oil (MFO) digunakan sebagai bahan api utama untuk menjana elektrik, manakala bahan api gas digunakan sebagai bahan api alternatif untuk menggantikan MFO, harga gas ditetapkan bersamaan dengan harga MFO. Penetapan harga gas berdasarkan bahan api alternatif telah diguna pakai di kebanyakan negara yang mengeksport gas di rantau ini yang menggunakan harga MFO sebagai sandaran untuk menetapkan harga gas Pada mulanya, sektor elektrik telah menggunakan diesel untuk menjana elektrik. Bagi menggalakkan sektor elektrik beralih daripada menggunakan diesel kepada gas, harga gas telah disandarkan kepada harga MFO. Berikutan kenaikan harga minyak di pasaran antarabangsa, harga MFO turut meningkat memandangkan ianya mempunyai hubung kait yang rapat dengan harga minyak semasa di pasaran. Harga formula asal yang dipersetujui antara pembekal (PETRONAS) dan pembeli (sektor elektrik dan bukan elektrik) terkandung dalam Perjanjian Pembekalan Gas (GSA). Dalam GSA, penetapan harga gas disandarkan kepada harga medium fuel oil (MFO) dan akan berubah mengikut naik-turun harga MFO di pasaran. |
| 18 |
Bagaimanakah subsidi harga gas ditentukan? Subsidi gas adalah perbezaan antara harga gas yang dikenakan kepada sektor elektrik dan industri berbanding harga pasaran. Kerajaan telah memutuskan agar harga gas yang ditetapkan kepada sektor penjanaan elektrik lebih rendah berbanding harga pasaran bertujuan untuk menghasilkan tarif elektrik yang rendah kepada rakyat. Buat masa ini, harga pasaran gas untuk sektor elektrik adalah kira-kira RM 47.42/MMBtu manakala harga gas yang disubsidi adalah RM10.70/MMBtu. Perbezaan antara harga pasaran dan harga gas yang disubsidi sebanyak RM36.72/MMBtu merupakan jumlah subsidi yang ditanggung oleh PETRONAS. |
| 19 |
Berapakah nilai subsidi gas di negara ini? Sekiranya harga gas dikekalkan pada kadar sedia ada (sektor elektrik pada kadar RM10.70/MMBtu, sektor bukan elektrik pada RM15.35/MMBtu), kira-kira RM27 bilion akan dibelanjakan untuk menampung subsidi ini. (Pengiraan subsidi ini dianggarkan berdasarkan harga Medium Fuel Oil, USD93.98 setong dan kadar pertukaran wang asing pada RM3.0467/USD). Oleh itu, Kerajaan terpaksa menstruktur semula subsidi harga gas. Langkah menyemak semula harga gas ini bertujuan mengurangkan bebanan tanggungan subsidi yang besar oleh PETRONAS dan Kerajaan. Sumbangan PETRONAS kepada Kerajaan dalam bentuk cukai dan dividen juga akan dapat ditingkatkan. Selain itu, PETRONAS dapat melabur semula bagi mengembangkan lagi perniagaannya. |




















