Kenyataan media : Kerajaan Komited Memastikan Bekalan Air Yang Berterusan Kepada Penduduk Di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Dan Putrajaya
KENYATAAN MEDIA
KERAJAAN KOMITED MEMASTIKAN BEKALAN AIR YANG BERTERUSAN KEPADA PENDUDUK DI NEGERI SELANGOR, WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR DAN PUTRAJAYA
Putrajaya, 21 Julai – Kerajaan Persekutuan komited untuk memastikan bekalan air yang berterusan dan berkualiti kepada seluruh rakyat di Malaysia termasuk rakyat di negeri Selangor. Oleh yang demikian, Kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan industri perkhidmatan bekalan air di Malaysia termasuk di Selangor berdaya maju dan mapan untuk pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan negara.
Kenyataan Y.A.B Menteri Besar Selangor bahawa permintaan bekalan air bagi negeri Selangor akan mencukupi sehingga 2019 dan menyangkal kenyataan Y.A.B Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bahawa krisis air dijangka berlaku pada 2014 adalah tidak tepat dan sangat mengelirukan pengguna. Sesungguhnya Kerajaan sentiasa mengambil sikap berhati-hati dan teliti dalam melaksanakan sesuatu projek terutamanya kemudahan awam yang melibatkan kesejahteraan orang ramai. Selari dengan itu, segala perancangan untuk melaksanakan sesuatu projek bekalan air dibuat secara rapi berpandukan Laporan Kajian Sumber Air Negara 2000-2050 yang diterbitkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri.
Laporan tersebut telah mendapati bahawa beberapa bandar utama terutamanya di Lembah Klang akan mengalami peningkatan permintaan bekalan air terawat berikutan kepesatan pembangunan di kawasan tersebut. Berdasarkan Laporan tersebut juga, unjuran terperinci peningkatan permintaan bekalan air bagi seluruh negara terutamanya kawasan-kawasan kritikal sentiasa dikemaskinikan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Bagi negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya umpamanya, purata peningkatan permintaan bekalan air terawat adalah sebanyak 2% - 3.5% setahun. Semenjak tahun 2008, jumlah maksimum kapasiti air terawat adalah sebanyak 4,326 juta liter sehari (jlh). Unjuran semasa menunjukkan bahawa menjelang 2011, permintaan bekalan air terawat (4,511 jlh) akan melebihi keupayaan pembekalan (4,326 jlh). Manakala menjelang akhir 2014, permintaan bekalan air terawat adalah dijangkakan meningkat kepada 4,907 jlh menjadikan defisit bekalan sebanyak 476 jlh. Unjuran permintaan bekalan air dari 2008 – 2014 adalah seperti jadual di bawah:
Jadual: Unjuran Permintaan Bekalan Air Terawat Bagi Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya
|
Tahun |
Kapasiti Bekalan Sedia Ada Yang Efektif (jlh) |
Purata Unjuran Permintaan (Planning Demand) (jlh) |
Lebihan/ Kekurangan Bekalan (jlh) |
Peratus Rizab (%) |
|
2008 |
4,326 |
4,201 |
125 |
2.89 |
|
2009 |
4,326 |
4,284 |
42 |
0.97 |
|
2010 |
4,326 |
4,391 |
-65 |
-1.50 |
|
2011 |
4,326 |
4,511 |
-185 |
-4.28 |
|
2012 |
4,431 |
4,625 |
-194 |
-4.37 |
|
2013 |
4,431 |
4,768 |
-337 |
-7.60 |
|
2014 |
4,431 |
4,907 |
-476 |
-10.74 |
Sumber: SPAN (2010)
Oleh yang demikian, berdasarkan unjuran terperinci ini, terdapat keperluan untuk segera melaksanakan Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor bagi menampung peningkatan permintaan bekalan air di negeri Selangor.
Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air
Putrajaya.
21 Julai 2010




















