Tahniah Green Data Centre KeTTHA
Pada masa sekarang, tahap keberkesanan sesebuah pusat data di seluruh dunia diukur menggunakan satu metrik yang dinamakan sebagai Power Usage Effectiveness (PUE). PUE ditakrifkan sebagai jumlah tenaga yang digunakan oleh pusat data dibahagikan dengan jumlah tenaga yang digunakan oleh peralatan IT dalam pusat data tersebut. Nilai yang paling ideal adalah 1 di mana kesemua tenaga yang disalurkan ke pusat data tersebut digunakan sepenuhnya oleh peralatan IT sahaja. Namun begitu nilai ini adalah mustahil untuk dicapai kerana infrastruktur lain di dalam pusat data turut memerlukan tenaga. Bacaan PUE terbaik yang dicatat di peringkat antarabangsa adalah bacaan untuk pusat data google.com iaitu 1.2 di mana pusat data tersebut menggunakan kaedah penyejukan semulajadi.
Salah sebuah institusi yang menyediakan garis panduan pengukuran keberkesanan pusat data adalah “Leadership in Energy and Environmental Design” atau LEED. Disebabkan masih tiada institusi atau badan penarafan dan pensijilan tempatan pada ketika ini, maka KeTTHA menggunakan standad yang telah ditetapkan oleh LEED dalam pengukuran PUE. Dengan bacaan PUE 1.6, Green Data Centre (GDC) KeTTHA telah mematuhi standad yang ditetapkan oleh LEED dan melayakkan GDC KeTTHA dikelaskan sebagai pusat data hijau. Selain itu, kajian dasar atau baseline study yang telah dilaksanakan oleh Unit Pemodenan Pentadbiran dan Pengurusan Perancangan Malaysia (MAMPU) telah menunjukkan bahawa PUE purata bagi pusat data sektor awam adalah sekitar 3.0 sehingga 4.0. Berdasarkan kajian ini, telah terbukti bahawa GDC KeTTHA mempunyai nilai PUE yang terbaik untuk sektor awam di Malaysia pada masa kini.
Green Data Centre (GDC) KeTTHA merupakan pusat data yang pertama seumpamanya di Malaysia dan sehingga kini merupakan satu-satunya pusat data dalam sektor awam yang mempunyai bacaan Power Usage Effectiveness (PUE) 1.6. Pengemaskinian polisi yang dilaksanakan dari semasa ke semasa bermula dari bulan April 2011 sehingga Disember 2011 telah menunjukkan bahawa nilai PUE di GDC KeTTHA berada di antara 1.608 dan 1.560. Ini membuktikan bahawa PUE KeTTHA berupaya dikekalkan secara mapan dan berterusan.
GDC KeTTHA telah diaudit oleh Green Computing initiatives (GCI) pada bulan Oktober 2011. GCI ialah sebuah badan pensijilan pengkomputeran hijau yang diiktiraf diperingkat kebangsaan dan antarabangsa. GDC KeTTHA adalah pusat data yang pertama diaudit di Malaysia untuk kategori “Green Computing Facility”. Berdasarkan audit yang dilaksanakan, GCI telah menganugerahkan sijil Platinum kepada GDC KeTTHA setelah ia berjaya memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan dan mendapat 80 mata daripada 87 mata yang ditetapkan.
| Attachment | Size |
|---|---|
| info-gdc2012.pdf | 399 KB |




















