Majlis Pelancaran Karnival “1 HIJAU 1 KOMUNITI” Peringkat Negeri Selangor
UCAPAN
Y. B. DATO’ SRI PETER CHIN FAH KUI
MENTERI TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR
MAJLIS PELANCARAN KARNIVAL “1 HIJAU 1 KOMUNITI”
PERINGKAT NEGERI SELANGOR
SABTU, 17 DISEMBER 2011, 9.30 PAGI
DEWAN SERI SEKINCHAN,
SUNGAI BESAR, SELANGOR DARUL EHSAN
Yang Berhormat Dato’ Noriah Kasnon
Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air
Yang Berbahagia Datuk Loo Took Gee
Ketua Setiausaha
Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air
Y. Bhg. Hajjah Nor’aini binti Abdul Wahab
Timbalan Ketua Setiasusaha
Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air
Yang Berusaha Dr. Nazily Mohd Noor
Ketua Pegawai Eksekutif
Malaysian Green Technology Corporation
Yang Berhormat-Yang Berhormat,
Tan Sri-Tan Sri, Dato’- Dato’,
Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan Negeri Selangor
Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian dan Agensi di bawah Kementerian
Barisan Kepimpinan Masyarakat dan wakil-wakil Penduduk
Pihak Media Massa
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Para hadirin yang saya hormati sekalian.
Selamat Pagi, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia
1. Terlebih dahulu, saya selaku Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air ingin mengucapkan selamat datang dan terima kasih kepada semua yang hadir ke Majlis Pelancaran Karnival Komuniti Hijau Peringkat Negeri Selangor pada pagi ini. Sesungguhnya, kehadiran tuan-tuan dan puan-puan membuktikan komitmen dan sokongan kepada Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian saya dalam mempromosikan teknologi hijau di negara ini.
2. Sebagai Kementerian yang bertanggungjawab dalam membangunkan teknologi hijau negara, pihak Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air sentiasa berusaha keras untuk mempromosi dan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan mengadaptasi amalan dan aplikasi teknologi hijau dalam kehidupan kita seharian.
3. Sehubungan ini, penganjuran Karnival Komuniti Hijau oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air adalah bertujuan untuk mendidik dan memberi penerangan kepada masyarakat berhubung peri pentingnya untuk kita bersama-sama menjaga, memelihara dan menghargai alam sekitar demi kesejahteraan kita semua. Dengan bertemakan “1 Hijau 1 Komuniti”, seluruh lapisan masyarakat sama ada di peringkat Kerajaan Negeri, agensi kerajaan, sektor swasta, NGO, ahli akademik, media dan individu dapat bersama-sama menggembeleng tenaga dan usaha ke arah menjadikan negara yang kita sayangi, Malaysia sebagai negara yang mengamalkan teknologi hijau. Melalui Karnival Komuniti Hijau, Kementerian saya berharap akan dapat menarik perhatian dan penyertaan pelbagai peringkat masyarakat dalam mengadaptasi dan mengamalkan gaya hidup hijau.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
4. Dewasa ini, kita kerap kali dipaparkan oleh media, sama ada media cetak mahu pun media elektronik, dengan berita mengenai kemusnahan alam sekitar dan bencana alam serta hubung kait fenomena ini dengan isu berkaitan pemanasan global, kenaikan paras air laut, pelepasan gas rumah hijau dan penyusutan sumber-sumber semulajadi akibat daripada aktiviti pembangunan, perbandaran dan masyarakat. Dalam konteks kemajuan ketamadunan manusia, keseimbangan dalam kesemua aspek tersebut dengan konservasi dan penjagaan alam semulajadi merupakan salah satu elemen penting yang perlu ditangani secara efektif dan kolektif.
5. Di samping usaha dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan pelbagai projek pembangunan prasarana dan kemudahan rakyat yang berteraskan konsep pembangunan mampan, kesedaran dan penglibatan aktif masyarakat dalam mengadaptasi amalan hijau dan mengguna pakai aplikasi teknologi hijau turut memainkan peranan penting bagi memastikan kemampanan kemajuan dan pembangunan sesebuah perbandaran.
6. Dalam hubungan ini, Dasar Teknologi Hijau Negara yang dilancarkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, Perdana Menteri pada pada 24 Julai 2009 merupakan ’blue print’ yang telah menetapkan hala tuju pelaksanaan dan pembangunan teknologi hijau negara. Dasar ini juga bertindak sebagai pemacu pertumbuhan baru ekonomi negara ke arah pembangunan yang mampan dari sudut alam sekitar, ekonomi, sosial serta kecekapan tenaga.
7. Dalam hubungan ini, Kementerian saya dengan kerjasama agensi di bawah Kementerian iaitu Malaysian Green Technology Corporation atau GreenTech Malaysia telah melancarkan pelbagai program sebagai pemangkin dalam visi membangunkan teknologi hijau yang mapan. Pelbagai insentif kewangan sama ada secara langsung atau tidak langsung turut disediakan untuk menggalakkan pihak swasta mengambil langkah serius untuk mengamalkan aplikasi teknologi hijau dalam menghasilkan produk dan perkhidmatan mereka. Aplikasi teknologi hijau yang mesra alam merupakan satu langkah yang bijak yang bukan hanya mengurangkan pengeluaran bahan merbahaya ke persekitaran manusia tetapi turut membantu memelihara sumber alam semula jadi dan menjimatkan penggunaan tenaga.
Para hadirin sekalian,
8. Selain daripada syarikat-syarikat swasta dan kilang-kilang, kesedaran dan penglibatan orang awam juga penting khususnya dalam membudayakan gaya hidup hijau oleh semua lapisan masyarakat termasuk masyarakat di Kuala Selangor. Kita mahu setiap lapisan rakyat, tidak kira sama ada warga emas, para belia mahu pun anak-anak kita untuk mempraktikkan amalan hijau dan mengguna pakai teknologi hijau dalam kehidupan seharian mereka. Antara amalan-amalan mudah yang boleh tuan-tuan dan puan-puan laksanakan di rumah dan sekolah adalah:
• Jangan membazirkan air dan elektrik. Gunakanlah air dan elektrik dengan bijaksana;
• Mengamalkan konsep 3R (Reduce-Reuse-Recycle) supaya kita dapat mengurangkan pembuangan sisa pepejal ke tapak pembuangan sampah;
• Menggunakan produk mesra alam seperti peti sejuk, alat pendingin udara dan televisyen yang menjimatkan tenaga elektrik;
• Mengurangkan penggunaan beg plastik (yang sukar dilupuskan); dan
• Menggunakan pengangkutan awam seperti LRT, ERL, dan Komuter
9. Saya mahu semua rakyat sedar bahawa adalah menjadi tanggungjawab dan amanah kita bersama-sama untuk memelihara alam sekitar dan memastikan persekitaran hidup yang mampan, selesa dan sihat. Adalah diharapkan melalui karnival ini juga, semua lapisan masyarakat terutamanya Generasi yang akan menjadi tunggak negara bersama-sama Kementerian merealisasikan visi kami iaitu menjelang tahun 2020, kami mensasarkan pengurangan pembebasan karbon di ruang udara kita sebanyak 40%. Ini merupakan langkah besar dalam memastikan kelangsungan hayat bumi kita, khususnya Malaysia.
Tuan-tuan dan puan-puan,
10. Penganjuran karnival ini juga dapat memberi peluang kepada Kementerian saya dan agensi-agensi untuk menjelaskan tentang peranan dan fungsi mereka serta syarikat-syarikat memperkenalkan produk-produk, proses dan perkhidmatan mereka yang berasaskan teknologi hijau. Adalah diharapkan menerusi karnival ini, segala harapan, hasrat serta dan misi yang ingin kita sematkan di dalam hati seluruh masyarakat tentang kepentingan teknologi hijau akan dapat menjadi kenyataan.
11. Besar harapan saya untuk melihat lebih banyak pihak berkepentingan khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT), institusi-institusi kerajaan dan swasta, sekolah serta kawasan-kawasan kejiranan dan penduduk untuk mengambil inisiatif menganjurkan program karnival seperti ini dalam usaha menggalakkan dan menyebar luas pengunaan dan aplikasi teknologi hijau.
12. Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih di atas kesudian tuan-tuan dan puan puan menghadiri dan memeriahkan acara pada pagi ini. Dengan ini, saya amat berbesar hati melancarkan Karnival Komuniti Hijau Peringkat Negeri Selangor secara rasminya.
Sekian, terima kasih.




















