Majlis Jalinan Mesra Bersama YB Menteri KeTTHA
UCAPAN
YB. DATO’ SRI PETER CHIN FAH KUI
MENTERI TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR
DI MAJLIS JALINAN MESRA BERSAMA YB MENTERI KeTTHA
ISNIN, 19 DISEMBER 2011, 8.25 MALAM
DEWAN DE’ SERI ENDON, PUSPANITAPURI, PUTRAJAYA
Yang saya hormati saudara Pengacara Majlis,
YB. Dato’ Noriah Binti Kasnon
Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air
Y.Bhg. Datuk Loo Took Gee
Ketua Setiausaha,
Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air
Y. Brs. En Badaruddin Bin Mahyuddin
Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga)
Y. Brs. Puan Nor’ Aini Binti Abdul Wahab
Timbalan Ketua Setiausaha (Teknologi Hijau dan Air)
Ketua-Ketua Agensi di bawah Kementerian
Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian dan Agensi di bawah Kementerian
Tuan-Tuan dan Puan-Puan para hadirin sekalian.
Selamat Malam, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia
1. Bersyukur kita kerana dapat bersama-sama berkumpul dalam Majlis Jalinan Mesra KeTTHA pada malam ini yang juga merupakan perjumpaan terakhir dengan warga bagi tahun 2011 ini. Saya percaya majlis seperti ini dapat memupuk perasaan esprit de corp antara warga KeTTHA. Program sebegini rupa amat baik bagi perkhidmatan apabila sekali setahun diadakan majlis jalinan seumpama ini dalam suasana relaks dan santai.
2. Dalam beberapa minggu lagi, tahun 2011 akan berlalu dan tahun 2012 akan tiba. Oleh itu, marilah kita memanjatkan kesyukuran di atas segala kejayaan yang telah diperolehi sepanjang tahun ini. Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Y. Bhg. Datuk Loo Took Gee selaku Ketua Setiausaha yang telah berusaha dengan gigih untuk menerajui Kementerian ini serta komitmen semua warga KeTTHA untuk mencapai kecemerlangan sepanjang tahun 2011 ini.
Pengurusan Kewangan Kementerian
Tuan –Tuan dan Puan-Puan,
3. Berbekalkan komitmen yang tinggi inilah, saya amat berbangga apabila KeTTHA telah mencapai tahap cemerlang dalam Pengurusan Kewangan berdasarkan Indeks Akauntabiliti, di mana KeTTHA telah mencapai prestasi pengurusan kewangan pada tahap 4 bintang. Syabas diucapkan kepada kepimpinan Datuk Loo Took Gee kerana kita telah menerima Sijil Kecemerlangan Pengurusan Kewangan Tahun 2010 pada sambutan Hari Audit Se Malaysia 2011 yang lalu. Adalah diharapkan agar kita dapat mengekalkan tahap kecemerlangan ini dalam pengurusan kewangan KeTTHA pada tahun hadapan.
4. Saya berharap kita dapat memberi keutamaan kepada program dan aktiviti yang dapat menyumbang kepada pencapaian KPI Kementerian secara cekap dan berkesan. Saya juga ingin menegaskan bahawa perbelanjaan yang dilaksanakan perlu berteraskan kepada prinsip :-
a. Penggunaan sumber secara optima
b. Meransang pertumbuhan ekonomi; dan
c. Nilai wang ( value for money )
SEKTOR TENAGA
SAIDI
5. Bagi Sektor Tenaga, suka saya maklumkan bahawa sepanjang tahun 2011, Kementerian ini telah memberi tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan prestasi pembekalan elektrik iaitu dengan memastikan penurunan tempoh gangguan bekalan elektrik yang dialami oleh pengguna. Tumpuan penurunan indikator System Average Interruption Duration Index (SAIDI) telah diberikan kepada 6 buah negeri di Semenanjung Malaysia iaitu Perak, Kedah, Johor, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor. Berdasarkan prestasi semasa, saya berpandangan positif bahawa SAIDI di negeri-negeri ini akan mencapai sasaran yang ditetapkan pada penghujung tahun ini. Ini merupakan salah-satu touch point Kementerian ini di mana menerusi penurunan indikator SAIDI, pengguna akan menerima bekalan elektrik yang lebih berdaya harap sekaligus meningkatkan kualiti hidup rakyat di negara ini.
6. Saya juga ingin berkongsi maklumat bersama warga KeTTHA bahawa buat masa ini, pihak TNB sedang melaksanakan operasi penukaran meter. Meter lama yang dipasang di premis pengguna yang melebihi 15 tahun akan digantikan dengan meter baru jenis elektronik. Meter baru ini akan merekodkan penggunaan elektrik dengan lebih tepat berbanding meter lama jenis. Amalan penukaran meter ini juga adalah selaras dengan amalan utiliti - utiliti lain di dunia dan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa. Melalui penukaran meter digital ini, perkhidmatan TNB boleh dipertingkatkan lagi di mana perkhidmatan TNB akan dapat direkodkan dengan lebih baik lagi.
7. Pengguna tidak perlu membuat sebarang bayaran bagi kos penukaran meter lama kerana ia dibiayai sepenuhnya oleh TNB dan tiada sebarang pengebilan ke belakang akan dibuat. Pihak Kementerian bersama Suruhanjaya Tenaga bertanggungjawab untuk memantau dan memastikan operasi penukaran meter lama oleh pihak TNB dilaksanakan secara berhemah, teratur serta memenuhi standard operating procedure (SOP) yang mesra pengguna. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru semua pihak termasuklah Suruhanjaya Tenaga, selaku badan kawal selia industri pembekalan elektrik, untuk menjadi lebih proaktif dan berusaha lebih keras lagi bagi memastikan isu-isu berkaitan dengan penukaran meter ini dapat diatasi.
Tenaga Boleh Baharu
8. Seperti tuan/puan sedia maklum, mekanisme feed-in tariff (FiT) bagi menggalakkan penggunaan Tenaga Boleh Baharu telah berjaya dilaksanakan pada 1 Disember 2011 seperti dirancang. Hasilnya amat memberangsangkan di mana dalam masa 2 hari sahaja, permohonan bagi mendapatkan kuota bagi sumber solar sahaja telah hampir penuh. Ini merupakan 97% atau 146MW daripada 150MW jumlah pemohon kapasiti solar yang diperuntukan sehingga 2014. Angka ini dijangka akan meningkat lagi kerana 43% atau 260MW daripada jumlah 608MW kuota yang ditawarkan daripada sumber-sumber lain seperti solar kurang 1MW, hidro kecil, biogas, biomass masih belum dipenuhi.
9. Walaupun mekasnime FiT telah dilancarkan, ia tidak bermakna tugas kita telah selesai. Kementerian juga sedang melaksanakan pelan komunikasi FiT bagi meningkatkan lagi kesedaran orang ramai terhadap kepentingan FiT dan sumbangan 1% daripada bil elektrik untuk pembangunan industri Tenaga Boleh Baharu. Saya percaya pelaksanaan FiT ini merupakan salah satu langkah awal bagi kita mencapai sasaran pengurangan karbon intensiti sebanyak 40% berbanding pada kadar 2005 menjelang 2020 selain menyumbang kepada ekonomi negara.
SEKTOR TEKNOLOGI HIJAU
Low Carbon Cities Framework ( LCCF )
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian
10. LCCF telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 8 September 2011 dengan tujuan untuk menyokong semua dasar dan inisiatif Kerajaan khususnya pembangunan Kerangka Perbandaran Mapan di bawah Dasar Perbandaran Negara yang memberi penekanan kepada aspek kehidupan (livability) yang mengambilkira elemen-elemen pentadbiran, ekonomi, perkhidmatan, kesamarataan, kepelbagaian, kesejahteraan komuniti dan kualiti hidup.
11. Dalam memastikan pembangunan Bandar rendah karbon berjalan lancar, satu program iaitu Program Pembangunan Bandar Rendah Karbon telah diwujudkan. Beberapa pihak berkepentingan yang mempunyai kriteria-kriteria yang ditetapkan telah dikenalpasti dan dipilih untuk menjadi Rakan Strategik LCCF. Pemilihan adalah berdasarkan perancangan dan pelaksanaan usaha/inisiatif hijau mengikut elemen LCCF, komitmen dalam menjayakan dan mempromosi pembangunan bandar rendah karbon dan kesediaan untuk bekerjasama serta berkongsi maklumat, pengetahuan dan pengalaman berkaitan LCCF. Sebagai permulaan, Putrajaya dan Cyberjaya sedang dibangunkan sebagai bandar hijau dan kita berharap untuk menjadikannya sebagai model utama bagi membangunkan bandar lain sepertinya pada masa akan datang.
Pelabelan Eko (Eco-Labelling)
Tuan-tuan dan puan-puan,
12. Kerajaan sedang bekerjasama dengan SIRIM untuk membangunkan pelabelan eko bagi produk tempatan. Garis Panduan Perolehan Hijau (Green Procurement Guidelines – GPP) juga turut dibangunkan untuk membolehkan sektor awam dan swasta melaksanakan pembelian dan perolehan produk hijau yang turut diiktiraf di peringkat antarabangsa.
13. Kerajaan juga telah bersetuju menaiktaraf Skim Pelabelan Eko SIRIM sebagai Program Pelabelan Eko Kebangsaan dan produk/perkhidmatan yang telah mendapat pensijilan eko disenaraikan dalam kontrak pusat serta diberikan keutamaan dalam perolehan Kerajaan. Selaras dengan keputusan tersebut juga, KeTTHA akan menjadi peneraju dan penyelaras yang bertanggungjawab dalam menentukan hala tuju dan strategi bagi membangunkan produk/perkhidmatan mesra alam dan menggalakkan perolehan hijau. Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia) pula akan berperanan sebagai focal point dalam inisiatif pembangunan pensijilan dan pelabelan hijau negara yang bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan perundingan dan latihan, melaksanakan aktiviti promosi dan penggalakan, membangunkan kapasiti dan modal insan dan menyelaras pangkalan data inventori bagi produk/perkhidmatan pelbagai sektor dan senarai syarikat-syarikat pengeluar.
Kenderaan Elektrik
14. Dalam bidang pengangkutan pula, KeTTHA dengan penglibatan pelbagai pihak, sedang berusaha ke arah pelaksanaan dan penggunaan kenderaan elektrik (electric vehicles - EV) di seluruh negara. Kerajaan telah membangunkan Roadmap Infrastruktur Kenderaan Elektrik. Fasa Pertama roadmap tersebut memfokuskan kepada pembangunan infrastruktur EV di sekitar Putrajaya dan Cyberjaya. Program Fleet Test Vehicle (FTV) PROTON telah dilancarkan pada 14 September 2011 dan ia merupakan sebahagian daripada Fasa II Roadmap Infrastruktur Kenderaan Elektrik.
15. Melalui Fasa II, projek perintis EV dilaksanakan untuk mendekatkan penggunaan EV kepada orang awam. Program FTV ini juga digunakan sebagai penandaarasan dalam membangunkan pelan strategik, kerangka kerja, mengenal pasti serta mengatasi isu berkaitannya bagi membolehkan industri dan orang awam mendapat manfaat daripada pelaksanaan program berkenaan.
SEKTOR AIR
Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Pembetungan Negara
Tuan-tuan dan Puan-puan,
16. Pada masa ini, industri perkhidmatan pembentungan negara merupakan sebuah industri yang kurang berdaya maju berbanding dengan industri utiliti lain di Malaysia yang disebabkan oleh beberapa faktor dan masalah. Sehubungan itu, kerajaan secara prinsipnya telah bersetuju agar indusri perkhidmatan pembetungan negara ini distrukturkan semula dari segi pengurusannya bagi membolehkan ia diuruskan secara holistik dan sebuah entiti operator pembetungan yang beroperasi secara asset light dan dikawal oleh SPAN melalui kaedah pelesenan di bawah Akta 655. Dengan ini, ianya dijangka mampu merubah perspektif masyarakat terhadap Industri Perkhidmatan Pembetungan dan mampu mewujudkan sebuah Industri yang cekap, telus dan berdaya saing.
Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negara
17. Menyentuh mengenai Penstrukturan Semula Industri Perkhdimatan Bekalan Air Negara, bagi tahun 2011, dimaklumkan bahawa perjanjian penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air bagi negeri Pulau Pinang telah ditandatangani pada 2 Jun 2011 selepas 4 buah negeri telah menandatangani perjanjian penstrukturan semula iaitu Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Perlis. Melalui inisiatif penstrukturan ini, operator-operator air di negeri-negeri tersebut telah dapat memperlihatkan peningkatan dalam operasi dan penyampaian perkhidmatan mereka dan seterusnya membolehkan para pengguna menikmati bekalan air yang mencukupi dan berterusan serta mematuhi tahap kualiti yang ditetapkan.
HARAPAN BAGI TAHUN 2012
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,
18. Menjelang fajar 2012 nanti, kita akan menghadapi pelbagai cabaran baru terutama sekali dengan situasi ekonomi global yang tidak menentu dan sedikit sebanyak boleh menggugat kestabilan ekonomi negara kita. Harapan dan ekpektasi rakyat terhadap kerajaan akan terus meningkat. Oleh yang demikian, saya berharap agar semua warga KeTTHA dapat meningkatkan produktiviti kerja yang akhirnya akan dapat menyumbang kepada kecemerlangan KeTTHA dalam pembangunan ekonomi Negara dan juga peningkatan taraf hidup rakyat. Saya juga berharap semua warga KeTTHA akan menjalankan tugas mereka dengan penuh tanggungjawab, jujur dan segera atau “with a sense of urgency, responsibility and honesty” agar dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada stakeholders dan rakyat.
19. Akhir kata, saya sekali lagi ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga Kementerian di atas sokongan dan sumbangan bakti serta segala pengorbanan yang telah diberikan sepanjang tahun 2011. Menjelang tahun baru yang akan kita tempuhi tidak lama lagi, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2012. Semoga segala usaha murni kita akan terus dapat dikecapi bagi tahun-tahun yang akan datang. Tidak dilupakan juga kepada warga KeTTHA yang menganut agama Kristian, saya ingin mengucapkan selamat menyambut Krismas atau Hari Natal.
Terima kasih.




















