Tenaga Boleh Baharu
Selaras dengan matlamat Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (OPP3) (2001-2010) dan Rancangan Malaysia Kelapan (2001-2005) untuk mengalak dan meningkatkan penggunaan sumber tenaga yang boleh diperbaharu (RE), maka Kerajaan telah merangka beberapa strategi bagi memantap dan membangunkan penggunaan RE sebagai sumber tenaga kelima (5) negara.
Bagi tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK-9), Kerajaan telah menetapkan sasaran penjanaan tenaga elektrik secara gridconnected menggunakan sumber- sumber RE seperti seperti biomass, biogas, mini-hidro, angin, solar dan municipal waste pada kapasiti 350MW iaitu melibatkan 300MW di Semenanjung Malaysia dan 50MW di Sabah.
Kerajaan sentiasa komited untuk mempastikan kejayaan pembangunan RE di Malaysia khususnya melalui pelaksanaan program Pembangunan Janakuasa Kecil Tenaga Yang Boleh Diperbaharu (Small Renewable Energy Programme - SREP) yang diperkenalkan pada tahun 2001. Pelbagai usaha dilakukan oleh Kerajaan bertujuan menarik minat pemaju-pemaju projek RE untuk melibatkan diri secara aktif dalam sektor ini seperti penubuhan infrastruktur untuk pembangunan RE, merangka program-program bagi pembangunan industri & pasaran RE dan menyediakan persekitaran yang lebih kondusif.




















