Pengenalan Kementerian
Kementerian
Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Malaysia (KeTTHA) telah ditubuhkan pada 9 April 2009 ekoran daripada rombakan Kabinet dan penstrukturan semula kementerian yang dilakukan oleh Y.A.B Perdana Menteri Malaysia yang keenam Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak. Sebelum itu, KeTTHA dikenali sebagai Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK) yang telah ditubuhkan pada 27 Mac 2004 melalui penstrukturan semula Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia.
Berikutan dari rombakan Kabinet 2009 tersebut, satu (1) fungsi baru yang dimasukkan ke dalam KeTTHA ialah Teknologi Hijau. Serentak dengan itu, fungsi ‘komunikasi’ dipindahkan keluar ke Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) . Kemasukan fungsi dan tanggungjawab baru KeTTHA bagi merancang, merangka dasar dan program-program teknologi hijau adalah menunjukkan kesungguhan Kerajaan Malaysia yang diterajui oleh Perdana Menteri baru bagi menerajui inisiatif menangani isu-isu global semasa seperti pencemaran alam sekitar, penipisan lapisan ozon, 'global warming' dan isu-isu yang berkaitan dengannya.
Visi
Peneraju Pembangunan Mapan Industri Tenaga dan Air Negara serta Teknologi Hijau.
Misi
- Menggubal dasar dan mewujudkan kerangka perundangan dan kawal selia berkesan;
- Menetapkan hala tuju industri tenaga, teknologi hijau dan industri air sejajar dengan matlamat pembangunan negara; dan
- Membangunkan sistem pengurusan yang cekap dan mekanisme pemantauan yang berkesan.
Objektif
Bagi merealisasikan visi dan misi, objektif Kementerian ialah:
- Memastikan pelaksanaan dasar-dasar pembangunan industri tenaga, air dan teknologi hijau secara berkesan;
- Memastikan penyediaan infrastruktur yang menyeluruh, bersepadu, menepati piawaian dan berkualiti;
- Menyediakan persekitaran yang kondusif bagi pembangunan industri dan teknologi;
- Memastikan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berterusan ke arah peningkatan penggunaan teknologi;
- Memastikan sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap, berkesan serta mampu bayar;
- Memastikan mekanisme kawal selia dilaksanakan selaras dengan peruntukan perundangan sedia ada; dan
- Meningkatkan keupayaan organisasi secara berterusan bagi mencapai matlamat industri dan teknologi hijau.




















