Majlis Sambutan Hari Inovasi Peringkat Kettha

Versi mesra pencetakHantar kepada rakan
Tarikh Ucapan: 
9 Disember 2009

UCAPAN
YB. DATO’ SRI PETER CHIN FAH KUI
MENTERI TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR
DI MAJLIS PERJUMPAAN Y.B. MENTERI DENGAN
WARGA KeTTHA DAN AGENSI-AGENSI DI BAWAH KEMENTERIAN
& MAJLIS SAMBUTAN HARI INOVASI PERINGKAT KeTTHA
RABU, 9 DISEMBER 2009, 8.30 PAGI
 
Saudara/Saudari Pengerusi Majlis
 
Y. Bhg. Dato’ Dr. Halim bin Man
Ketua Setiausaha, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air
 
Y. Bhg. Datuk Nor Azmal Mohd Nazir
Timbalan Ketua Setiausaha, (Teknologi Hijau dan Air)
 
Y. Berusaha Cik Loo Took Gee
Timbalan Ketua Setiausaha, (Tenaga)
 
Ketua-ketua Agensi,
Pegawai-pegawai Kanan Kementerian,
 
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian
 
Selamat Pagi dan Salam 1Malaysia,
 
Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir pada pagi ini bagi menjayakan Majlis Perjumpaan saya dengan Warga KeTTHA dan Agensi-Agensi di bawah Kementerian serta Majlis Sambutan Hari Inovasi Tahun 2009. Setelah hampir lapan (8) bulan berkhidmat di Kementerian ini, saya rasa gembira dan bertenaga kerana mendapat sokongan dan kerjasama yang baik dari semua peringkat warga Kementerian. Walau pun kita diberi tanggungjawab yang besar dalam memenuhi keperluan pelanggan iaitu rakyat dan stakeholder, namun dengan semangat kerjasama dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh semua warga Kementerian, saya yakin kita mampu untuk memikul semua tanggungjawab tersebut. Saya berharap semangat yang sama akan berterusan dalam usaha kita membangunkan sebuah negara yang maju dan menjadi kebanggaan kita semua.
 
2.         Bagi mencapai hasrat sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020, semua anggota Perkhidmatan Awam tidak mempunyai pilihan selain menyokong dan sama-sama terlibat dengan proses transformasi sama ada dari segi struktur, pemikiran dan cara kita bekerja. Cabaran di hadapan kita adalah besar dan untuk terus kekal relevan, ia menuntut perubahan yang dinamik dan pantas. Di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri yang baru ini, cara kita bekerja dan berfikir perlu berubah kerana business is not as usual dan pencapaian kerja kita akan diukur berdasarkan kepada performance based evaluation. Pencapaian kita tidak lagi diukur melalui berapa banyak projek/program yang dilaksanakan atau jumlah peruntukan yang dibelanjakan, tetapi kepada outcome dan impak sesuatu projek/program kepada golongan sasar iaitu rakyat keseluruhannya. Setiap ringgit wang rakyat yang dibelanjakan akan dipertanggungjawabkan dari segi faedahnya yang sampai kepada mereka dan akhirnya rakyat akan membuat penilaian terhadap prestasi saya sebagai Anggota Pentadbiran dan anda semua sebagai kakitangan awam berdasarkan sasaran yang telah ditetapkan.
 
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian,
 
3.         Bagi mencapai hasrat Gagasan Konsep 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, YAB. Perdana Menteri telah menetapkan sasaran yang perlu dicapai melalui penetapan KPI, NKRA dan hingga ke peringkat yang menyentuh hati nurani rakyat iaitu touch points. Di bawah kepimpinan baru ini, Konsep 1Malaysia ditetapkan sebagai hala tuju strategik yang menjadi cabaran dan sandaran yang wajib direalisasikan oleh kita semua yang telah diberi kuasa dan amanah untuk memenuhi hasrat dan aspirasi rakyat dan Kerajaan. Kita seharusnya menggunakan setiap saluran yang ada untuk mendengar keluhan dan pandangan daripada rakyat. Era government knows everything telah berlalu dan rakyat pada hari ini ingin terlibat sama dalam setiap dasar dan keputusan yang dibuat oleh Kerajaan. Oleh itu, setiap aduan dan pandangan yang diterima perlu diberi perhatian dan mengambil langkah segera untuk menanganinya. Sehubungan dengan ini, saya telah mewujudkan blog saya sendiri yang boleh dicapai melalui http://peterchin.my yang mana urus setia majlis telah mengaturkan untuk saya melancarkan selepas majlis perhimpunan pagi ini. Saya percaya usaha ini adalah sebagai salah satu cara untuk berkomunikasi seterusnya memahami kehendak dan keperluan rakyat. Setakat ini, saya telah menerima banyak maklumat dan maklum balas yang baik dari pelbagai pihak dan ini sekali gus dapat membantu saya dalam menjalankan tugas sebagai Anggota Pentadbiran.
 
4.         Oleh itu, saya menyeru semua anggota Kementerian supaya bekerja dengan lebih kuat bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh KPI, NKRA dan touch points dalam tempoh masa yang ditetapkan.  Di antara KPI yang melibatkan KeTTHA ialah pengurangan SAIDI di Sabah dan Semenanjung, meningkatkan kawasan liputan bekalan air terawat, meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharu dan kecekapan tenaga serta mewujudkan lebih banyak sistem pembetungan serantau atau central sewerage plant. Bagi mencapai sasaran yang ditetapkan, kita perlu lebih kreatif dengan mengemukakan idea yang lebih baik bagi menyelesaikan sesuatu masalah. Cara bekerja secara konvensional perlu diubah dan proses kerja sedia ada perlu melalui proses re-engineering bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti. Sebab itulah konsep “makmal” yang dipraktikkan sekarang merupakan sesuatu yang inovatif bagi melihat kembali secara menyeluruh sesuatu isu dan permasalahan sebelum mengemukakan cadangan penambahbaikan.
 
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
 
5.         Dalam ucapan Bajet 2010, YAB. Perdana Menteri telah mengumumkan inisiatif Kerajaan dalam membangunkan teknologi hijau di mana Kementerian ini telah diperuntukkan dengan sejumlah wang bagi menjayakan inisiatif tersebut. Kerajaan amat menghargai potensi sektor teknologi hijau dan telah memperuntukkan sebanyak RM1.52 bilion bagi mempromosikan dan menggalakkan pertumbuhan industri ini. Ia membolehkan syarikat pengeluar dan syarikat pengguna teknologi hijau membuat pinjaman mudah untuk membiayai aktiviti mereka. Bagi syarikat pembekal, pinjaman maksimum yang boleh dibuat adalah RM 50 juta dan syarikat pengguna sebanyak RM 10 juta. Memandangkan kita tidak mempunyai banyak waktu untuk melaksanakan program/projek yang telah dikenal pasti, maka tindakan segera perlu diambil bagi memastikan semua inisiatif dan program yang ditetapkan dapat dilaksanakan segera dan siap dalam masa yang ditetapkan. Selain daripada mempromosikan teknologi hijau melalui kempen dan program kesedaran, persidangan dan pameran antarabangsa teknologi hijau pada bulan Oktober 2010 merupakan acara penting yang perlu diberi perhatian. Sekiranya program ini berjaya, ia merupakan satu pengiktirafan kepada negara dan akan menjadi acara tahunan atau circuit kepada beberapa siri pameran dan persidangan di peringkat antarabangsa. Ia akan menjadi tarikan utama kepada pihak industri dari dalam dan luar negara untuk show case produk teknologi hijau mereka. 
 
6.         Di samping itu, Pusat Tenaga Malaysia turut ditukar menjadi Pusat Teknologi Hijau Nasional bagi menandakan komitmen jangka panjang kerajaan terhadap agenda ini. Pusat Teknologi Hijau Nasional yang distrukturkan semula ini akan ditugaskan untuk merumuskan pelan tindakan pembangunan teknologi hijau dan menjadi titik penting menetapkan piawaian dan menggalakkan teknologi hijau. Usaha ini sudah tentu menjadi pencetus dan mengubah lanskap negara ke arah pembangunan teknologi hijau yang lebih mapan.. Perubahan ini memberikan pengiktirafan kepada kepentingan Teknologi Hijau memulihara bumi dalam kehidupan seharian. Menerusi penstrukturan semula kementerian ini, terserlah dua dasar utama, iaitu memberi tumpuan kepada 'teknologi hijau' sebagai langkah untuk mencapai pelestarian secara lebih terencana; dan kepentingan sektor perkhidmatan tenaga dan air dinyatakan secara lebih holistik dan bersepadu. Begitu juga dengan langkah untuk menjadikan Putrajaya dan Cyberjaya sebagai bandar hijau memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh. Sehubungan itu, perancangan dan penyelarasan yang teliti perlu dilakukan dari sekarang bagi menyediakan infrastruktur, regulatory framework dan modal insan yang bersesuaian bagi menjayakan semua inisiatif tersebut dan seterusnya melihat impak dan keberkesanan inisiatif berkenaan terhadap aspek-aspek ekonomi, alam sekitar dan kualiti hidup masyarakat di masa hadapan.
 
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
 
7.         Perhimpunan pada pagi ini juga diadakan bersekali dengan Sambutan Hari Inovasi 2009 peringkat Kementerian dengan  tema “Inovasi Pemacu Perubahan” adalah tepat pada masanya. Inovasi dan kreativiti terbukti telah merubah peradaban dan tamadun manusia ke arah yang lebih baik dengan pemikiran dan ciptaan yang telah membawa perubahan yang bermakna kepada penghidupan manusia sejagat. Tanpa pemikiran yang kreatif dan inovatif, kehidupan akan menjadi statik dan akhirnya tidak relevan dengan peredaran masa. Menyedari akan kepentingan inovasi dan kreativiti bagi menjana perubahan, Y.A.B. Perdana Menteri telah menggantikan sambutan Hari Kualiti yang disambut sebelum ini dengan sambutan Hari Inovasi. Semasa mencadangkan pertukaran ini, beliau berkata sudah tiba masanya konsep yang lebih baru dan lebih segar diperkenalkan kepada usaha-usaha pembaharuan dan penambahbaikan dalam sistem penyampaian Perkhidmatan Awam iaitu berasaskan inovasi dan kreativiti.

8.         Seperti yang kita sedia maklum, inovasi atau pembaharuan adalah antara elemen penting dalam memastikan perkhidmatan yang diberikan adalah memenuhi keperluan pelanggan dan stakeholders. Dalam konteks Perkhidmatan Awam, definisi inovasi tidak lagi terhad kepada penyelidikan dan pembangunan dalam bidang sains dan teknologi semata-mata yang berjaya menembusi pasaran atau from R&D to the market place, tetapi apa yang penting ialah bagaimana kita boleh menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat. Oleh kerana pasaran adalah rakyat, maka jika sesuatu ciptaan itu berjaya membaiki perkhidmatan dan penyampaian kepada rakyat, ia merupakan satu inovasi dan kreativiti. Dalam hubungan ini, usaha-usaha ke arah peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan juga merupakan satu inovasi.
 
9.         Sehubungan itu, usaha ke arah peningkatan inovasi dan kualiti perlu diterapkan dan sentiasa diamalkan oleh semua warga Kementerian tanpa mengira peringkat. Pihak pengurusan perlu menyediakan persekitaran yang kondusif bagi membolehkan percambahan idea, pemikiran kreatif dan kreativiti warga Kementerian bagi menghasilkan cadangan yang inovatif dan akhirnya dapat meningkatkan produktiviti, menjimatkan masa dan keberkesanan kos. Penubuhan lebih banyak work improvement team atau WIT merupakan langkah yang baik dan perlu digalakkan bagi memupuk budaya inovasi dan kreativiti di Kementerian ini.
 
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
 
10.       Usaha-usaha penambahbaikan sistem penyampaian Kerajaan menerusi penggunaan ICT merupakan contoh inovasi yang telah menjadi agenda penting Kerajaan melalui inisiatif eGovernment. Perkembangan dalam bidang ICT secara tidak langsung telah mempengaruhi cara kita berfikir dan bekerja untuk meningkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan. Oleh itu, warga Kementerian perlu menggunakan kesempatan ini untuk membangunkan sesuatu program atau setidak-tidaknya menggunakan kemudahan ICT untuk menghasilkan kerja dengan cekap dan berkesan. Ledakan teknologi ICT masa kini juga menyebabkan ekspektasi rakyat kepada sistem penyampaian Kerajaan juga semakin tinggi terutama apabila Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif di bawah Kerajaan Elektronik termasuk konsep no wrong door. Apabila penggunaan ICT semakin meluas dan canggih di agensi-agensi Kerajaan, segala urusan bukan sahaja menjadi lebih cekap tetapi lebih telus dan berintegriti.
 
11.             Saya juga difahamkan bahawa pada tahun 2009 ini, pelbagai program peningkatan kualiti telah dilaksanakan bagi memantapkan lagi sistem pengurusan kualiti secara menyeluruh di peringkat Kementerian. Antaranya ialah menggunakan Konsep 5S sebagai management tools dalam pengurusan kualiti dan produktiviti, di samping mengadakan lawatan Audit Manual Prosedur Kerja dan Fail Meja, Pertandingan Keceriaan Pejabat, Kuiz Kualiti dan sebagainya. Pada masa ini juga, pihak Kementerian dalam proses untuk mendapatkan Persijilan MS ISO 9001: 2008 dalam aspek penggubalan dasar dan pengurusan projek. Saya menjangkakan apabila Kementerian ini berjaya dan diberi pengiktirafan dengan Sistem Pengurusan Kualiti berasaskan MS ISO 9001:2008, maka sistem penyampaian perkhidmatan Kementerian akan berada di tahap yang tinggi, konsisten dan dapat memenuhi kehendak pelanggan. Justeru, prestasi dan imej Kementerian di kalangan masyarakat dan stakeholder akan dapat dipertingkatkan lagi.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
 
12.       Sukacita saya mengambil kesempatan di sini untuk mengingatkan warga Kementerian betapa pentingnya aspek keselamatan diri, harta benda dan dokumen rasmi Kerajaan diberi perhatian serius. Kita selalunya mengambil sikap “tidak apa” atau take things for granted sehinggalah sesuatu yang tidak diingini berlaku. Sebagai contoh, langkah-langkah untuk menyelamatkan diri semasa kecemasan ketika berada dalam sesuatu majlis seperti ini jarang diberi perhatian. Oleh itu, saya telah meminta pihak penganjur untuk setiap majlis memberi taklimat ringkas mengenai langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil sebelum majlis bermula. Dengan cara ini, lama-kelamaan, ia akan menjadi suatu amalan biasa yang akan memberi kebaikan kepada kita semua. Begitu juga dengan tahap keselamatan pejabat dan dokumen mesti berada dalam keadaan yang baik pada setiap masa.
 
13.       Sebelum berundur, izinkan saya mengucapkan ‘SELAMAT HARI NATAL atau MERRY CHRISTMAS kepada semua warga Kementerian yang menyambut Christmas. Kepada mereka yang mengambil cuti, selamat bercuti. Tidak lupa juga saya mengucapkan SELAMAT TAHUN BARU 2010 kepada semua. Semoga Tahun Baru akan memberi kita semua semangat yang lebih gigih untuk terus memberi perkhidmatan terbaik kepada negara. Akhir kata, saya ingin mengucapkan tahniah kepada para pemenang pertandingan keceriaan pejabat dan kuiz kualiti. Tidak ketinggalan, saya ucapkan tahniah dan syabas kepada ahli jawatankuasa penganjur kerana telah berjaya menganjurkan majlis ini.
 
Sekian, terima kasih.

 
 
I S R K J S A
 
 
1
 
2
 
3
 
4
 
5
 
6
 
7
 
8
 
9
 
10
 
11
 
12
 
13
 
14
 
15
 
16
 
17
 
18
 
19
 
 
21
 
22
 
23
 
24
 
25
 
26
 
27
 
28
 
29
 
30
 
31
 
 
 
Tambah ke kalendar