Kenyataan Media: Skim Bekalan Air Mentah Dari Pahang Ke Selangor
KENYATAAN MEDIA
Skim Bekalan Air Mentah Dari Pahang Ke Selangor
Putrajaya, 23 Julai – Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air sebagai Kementerian yang bertanggungjawab kepada hal ehwal bekalan air di seluruh negara, bertanggungjawab untuk memberikan maklumat dan penjelasan sebenar kepada rakyat bagi membetulkan atau menyangkal apa jua kenyataan mana-mana pihak yang memanipulasikan keadaan untuk kepentingan sendiri dengan kenyataan dan fakta yang mengelirukan mesyarakat umum seperti kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah penerangan Negeri Selangor bertajuk ‘Tiada Krisis Air, Selangor Tolak Kadar Air Naik!’ bertarikh 22 Julai 2010.
Perlu ditegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan sentiasa membuat perancangan berdasarkan keperluan jangka panjang secara teliti dan rapi berpandukan fakta-fakta yang sahih dan terkini dalam menyediakan kemudahan awam termasuk infrastruktur bekalan air. Berdasarkan pengalaman, adalah sukar untuk menyediakan satu projek bekalan air yang kos efektif dalam masa yang singkat. Memandangkan Kerajaan sangat mengutamakan bekalan air yang berterusan dan mencukupi untuk dinikmati oleh rakyat dan pengguna di seluruh negara, Kerajaan tegas berusaha mengelakkan situasi tersepit dan ‘sudah terhantuk baru tengadah’.
Menyedari hakikat ini, langkah proaktif jangka panjang Kerajaan Persekutuan bagi memastikan bekalan air sentiasa mencukupi dan berterusan untuk keperluan domestik dan industri di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah dengan menyegerakan pelakasanaan Skim Bekalan Air Mentah dari Pahang Ke Selangor. Pelaksanaan Skim ini adalah komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan kepada kesejahteraan dan kebajikan rakyat di Negeri Selangor. Skim ini yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan terbahagi kepada dua projek iaitu Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor (PPAMPS) dan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihan (LRAL2).
Skim tersebut mengandungi dua projek utama di mana akan melibatkan pengambilan tanah dan kerja-kerja pembinaan komponen-komponen berikut :-
(a) PPAMPS – komponen empangan, komponen muka sauk, komponen stesen pam, komponen saluran paip air mentah berkembar dari muka sauk ke muka terowong dan komponen terowing penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor; dan
(b) LRAL2 – komponen loji rawatan air berkapasiti 1,130 juta liter (jlh) di Hulu Langat, komponen tangki-tangki simpanan, komponen tangki-tangki imbangan dan komponen sistem paip agihan kepada pengguna.
Oleh yang demikian, memandangkan keperluan untuk melaksanakan Skim ini adalah sesuatu yang sangat kritikal dan segera bagi menampung keperluan defisit air pada 2014, maka ia seharusnya diasingkan dengan proses pemuktamadan penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air negeri Selangor yang dijangka akan mengambil masa yang lebih panjang.
Sehubungan dengan itu, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian ini juga menggesa Kerajaan Negeri Selangor untuk memberikan kerjasama serta komitmen dan bukannya sebagai penghalang utama dalam pelaksanaan Skim Bekalan Air Mentah dari Pahang ke Selangor dan juga proses memuktamadkan penstrukturan semula pengurusan bekalan air demi kepentingan rakyat di negeri tersebut.
Penstrukturan semula yang diterajui oleh Kerajaan melalui Kementerian ini turut melibatkan empat syarikat operator air di mana Kerajaan Negeri Selangor mempunyai kepentingan dalam tiga daripadanya melalui pemilikan ekuiti yang strategik. Sebagai pemegang ekuiti, sewajarnya Kerajaan Negeri Selangor memainkan peranan penting untuk menyegerakan proses pemuktamadan penstrukturan semula ini dan bukannya berdolak dalik dan berselindung di sebalik pegangan ekuiti tersebut dengan pelbagai permintaan yang tidak memihak kepada kepentingan pengguna air di negeri Selangor.
Sebagai pemegang ekuiti kepada syarikat-syarikat operator air tersebut, Kerajaan Negeri Selangor juga seharusnya lebih proaktif dan memainkan peranan melalui keahlian dalam Lembaga Pengarah untuk membantu syarikat-syarikat tersebut meningkatkan kecekapan serta memperbaiki segala kekurangan pengurusan. Langkah ini adalah lebih wajar berbanding dengan menyuarakan dan mendedahkan kepincangan syarikat yang dilihat seolah-olah seperti ‘membuka pekung di dada’ kepada masyarakat umum. Adalah lebih efektif untuk semua pihak termasuk Kerajaan Negeri Selangor yang tidak berpuas hati dengan apa jua tindakan yang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat air untuk merujuk dan melaporkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk tindakan pembetulan melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).
BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT DAN PERHUBUNGAN AWAM
KEMENTERIAN TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR
23 JILAI 2010




















