Garis Panduan Bagi Menggalakkan SREP
Program Janakuasa Kecil Tenaga Yang Boleh Diperbaharu (SREP) Bagi Menggalakkan Perkembangan Penjanaan Kuasa Tenaga Yang Boleh Diperbaharu
Program Janakuasa Kecil Tenaga Yang Boleh Diperbaharu (SREP) adalah satu inisiatif oleh Jawatankuasa Khas bagi Tenaga Yang Boleh Diperbaharu (SCORE) bertujuan menyokong strategi kerajaan dalam mempergiatkan pembangunan tenaga yang boleh diperbaharu (RE) sebagai sumber bahan api kelima. SREP akan memberi pengalaman berharga yang dapat dimanfaatkan dalam pembangunan dan pemantapan strategi-strategi tenaga yang boleh diperbaharu (RE), ke arah pencapaian sumbangan tenaga yang boleh diperbaharu (RE) yang nyata dan bermakna dalam industri penjanaan kuasa campuran bahan api bagi jangkamasa panjang.
Fokus utama SREP adalah untuk memudahkan pelaksanaan yang cepat lagi cekap penyambungan loji-loji kecil berasaskan sumber tenaga yang boleh diperbaharu kepada sistem grid.
Pada peringkat permulaan fasa ini, SCORE akan mengguna pakai garis panduan berikut dalam usaha menggalakkan pembangunan bagi penyambungan loji-loji kecil berasaskan sumber tenaga yang boleh diperbaharu kepada sistem grid:
- SREP adalah meliputi semua jenis sumber tenaga yang boleh diperbaharu termasuk biojisim, biogas, sisa buangan pepejal,solar, hidro-mini serta angin.
- Pengusaha projek dikehendaki berunding terus dengan pihak Utiliti yang berkenaan mengenai Perjanjian Pembelian Tenaga Elektrik Yang Boleh Diperbaharu (Renewable Electricity Purchase Agreement (REPA) termasuk harga jualan yang berasaskan willing-seller, willing buyer, mengikut konsep take and pay.
- Pengeluar elektrik tenaga yang boleh diperbaharu (RE) akan diberi lesen bagi tempoh 21 tahun, bermula dari tarikh loji memulakan operasi.
- Pengeluar elektrik tenaga yang boleh diperbaharu (RE) hendaklah menanggung semua kos bagi penyambungan kepada grid, pengukuhan sistem Utiliti yang berkaitan (kabel elektrik, transformer, switchgears dan peralatan keselamatan yang lain) serta pemasangan meter yang perlu. Sambungan kepada pembahagian grid hendaklah pada aras voltan di antara 11- 33 kV.
- Lokasi bagi loji janakuasa kecil tenaga yang boleh diperbaharu (RE) haruslah terletak di dalam lingkungan 10 km dari interconnection point yang terdekat. Pengecualian diberikan kepada projek janakuasa tenaga air (hidro).
- Tiada sebarang stand-by charges yang akan dikenakan. Walaubagaimanapun, jika pengusaha projek memerlukan back energy, mereka akan dikenakan caj mengikut tarif semasa.
- Keutamaan akan diberikan kepada loji penjana kuasa yang menggunakan teknologi co-generation.
- Kapasiti maksimum bagi loji janakuasa kecil tenaga yang boleh diperbaharu (RE) yang direka bentuk bagi penjualan kuasa kepada grid mestilah 10 MW. Daripada segi saiz, sesebuah loji janakuasa boleh melebihi 10 MW, tetapi kapasiti maksimum yang dibenarkan untuk kuasa dieksport kepada grid pembahagian tidak boleh melebihi 10 MW.
- Loji janakuasa kecil tenaga yang boleh diperbaharu (RE) mesti telah sedia bagi penyambungan kepada grid dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh mendapat kelulusan bagi penyambungan grid. Hal ini juga demikian bagi loji yang sedia ada yang ingin disambungkan kepada grid. Walaubagaimanapun, bagi cadangan untuk membina loji janakuasa kecil tenaga yang boleh diperbaharu (RE) yang baru (atau bagi cadangan untuk re-powering) di mana memerlukan pemasangan boiler yang baru atau sistem penjana turbo, tempoh memulakan operasi dipanjangkan kepada 24 bulan. Tempoh yang ditetapkan dari masa pembinaan hingga permulaan operasi akan dikira dari tarikh Perjanjian Pembelian Tenaga Elektrik Yang Boleh Diperbaharu (Renewable Electricity Purchase Agreement (REPA)) ditandatangani antara pengusaha dan pihak Utiliti.
- Loji janakuasa kecil tenaga yang boleh diperbaharu (RE) mestilah menepati segala peraturan alam sekitar yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), dan menjadi tanggungjawab pengusaha projek untuk mendapatkan kelulusan yang berkenaan dari JAS, dan sebarang kelulusan lain yang ditetapkan oleh undang-undang.
- Sekurang-kurangnya sebanyak 30% ekuiti daripada projek loji janakuasa kecil tenaga yang boleh diperbaharu (RE) mestilah dipegang oleh Bumiputera. Agensi/ syarikat asing pula hanya dibenarkan menyertai projek SREP dengan maksimum ekuiti sebanyak 30% sahaja.




















