Centre for Education and Training in Renewable Energy and Energy Efficiency (CETREE)
Projek ini merupakan kesinambungan Projek Centre for Education and Training for Renewable Energy and Energy Efficiency (CETREE) yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan dengan kerjasama DANIDA di bawah Malaysia-Danish Environmental Cooperation Programme mulai tahun 2000. Projek ini bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai peranan serta penggunaan tenaga yang boleh diperbaharu dan kecekapan tenaga dalam bidang pendidikan. Melalui projek ini, konsep tenaga yang boleh diperbaharu dan kecekapan tenaga dapat diterapkan dalam aktiviti kurikulum di peringkat sekolah dan universiti.
CETREE telah bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia menganjurkan tiga (3) pertandingan berkaitan tenaga diperbaharu dan kecekapan tenaga, iaitu kereta suria (Solar Car), memasak dengan dapur suria (cooking with nature) rumah cekap tenaga tepi pantai (RE & EE Beach House). Selain tiga (3) pertandingan tersebut, permainan dalaman (indoor games) turut dianjurkan bersama-sama dengan pameran dalaman yang julung kalinya dilaksanakan oleh CETREE. Pameran utama CETREE iaitu van tenaga oleh unit pameran bergerak turut diadakan.
CETREE juga mengadakan kempen mengenai kecekapan tenaga menerusi akhbar tempatan. Informasi yang diterbitkan ialah mengenai pemilihan peralatan cekap tenaga yang menjimatkan seperti peti sejuk, penyaman udara, seterika, cerek elektrik dan lampu.
Pelajar-pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi awam dari seluruh negara juga turut mengadakan lawatan sambil belajar ke CETREE. Setakat ini, bilangan pelajar yang telah melawat CETREE ialah 8,260 dan bilangan guru dan pensyarah ialah 1,714 orang. Bilangan orang awam pula ialah seramai 14,109. CETREE kini menyediakan laman web interaktif untuk menyebarkan informasi berkaitan Kecekapan Tenaga (KT) dan Tenaga Diperbaharui (TD).




















